Rampasan, kutipan penalti cecah RM15.5 bilion, kerajaan peruntuk RM700 juta untuk badan penguatkuasa
KUALA LUMPUR – Hasil rampasan dan kutipan penalti oleh agensi penguat kuasa di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI mencecah hampir RM15.5 bilion bagi tahun 2024 dan 2025, hasil daripada tindakan tegas membanteras rasuah, penyeludupan serta monopoli kartel yang menjejaskan ekonomi negara.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan usaha memperkukuh tatakelola dan ketegasan kerajaan menegakkan akauntabiliti tanpa menambah beban rakyat dengan cukai baharu.
“Sejak di bawah pentadbiran MADANI, badan-badan penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti hampir RM15.5 bilion bagi tahun 2024 dan 2025,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar turut memuji kejayaan terbaru PDRM menumpaskan sindiket haram terancang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang yang menurutnya mencerminkan keberkesanan agenda tatakelola kerajaan.
“Bayangkan wang yang disakau dan dirompak kini dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun mencecah RM15.5 bilion. Segala ketirisan ini telah terbiar sekian lama kerana kurangnya tekad politik,” tegas beliau.
Mengutip kata-kata ahli falsafah Perancis, Montesquieu, Perdana Menteri menegaskan bahawa “kuasa tanpa pertanggungjawaban adalah permulaan kepada kezaliman”, sambil menegaskan prinsip akauntabiliti kekal menjadi tunjang pemerintahan MADANI.
Bagi memperkukuh lagi keupayaan agensi penguatkuasaan, kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta tahun depan bagi latihan serta perolehan aset untuk SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC.
Selain itu, Anwar memaklumkan bahawa JKDM akan memperkenalkan setem cukai digital dengan ciri keselamatan dipertingkat bagi membendung pemalsuan serta melaksanakan ‘Centralised Screening Complex’ (CCTV) di pintu masuk negara bagi menangani ketirisan hasil.
Beliau turut mengumumkan pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh mulai 2026, serta sistem taksir sendiri duti setem bagi memupuk pematuhan cukai yang lebih baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








