Anwar mahu bangunan KLSCAH diiktiraf warisan negara
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) yang berusia hampir satu abad dipulihara serta diiktiraf sebagai bangunan bersejarah dan warisan negara.
Beliau berkata, usaha pemuliharaan itu penting bagi memudah cara pemenuhan sebarang syarat yang diperlukan untuk pengiktirafan rasmi bangunan berkenaan.
Sehubungan itu, Anwar meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyelaraskan usaha pemuliharaan berkenaan dengan kerjasama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud bagi memastikan segala keperluan dapat dipenuhi.
Perdana Menteri turut mengarahkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing supaya duduk semeja bersama jawatankuasa berkaitan bagi membincangkan serta merealisasikan pengiktirafan tersebut.
“Bangunan ini mencecah 100 tahun, mempunyai keperluan untuk mendapat pengiktirafan kerajaan, jadi Hannah dan Datuk Bandar akan selesaikan sebelum bawa kepada saya. Jangan risau soal status tanah. Kita masyarakat yang prihatin dan kita mahu pelihara warisan ini.
“Kita anggap bangunan ini sebagai bangunan bersejarah dan warisan, justeru kita beri pertimbangan khas. Maka jawatankuasa itu perlu bekerjasama supaya bangunan ini boleh dipulihara,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Tahun Baharu Cina di KLSCAH, di sini hari ini.
Menurut laman web Jabatan Warisan Negara, bangunan KLSCAH mula dibina pada 1910 dan siap sepenuhnya pada 1923.
Antara tujuan utama pembinaannya adalah sebagai pusat kebajikan masyarakat Cina di Malaysia, khususnya dalam sektor ekonomi dan budaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














