BERITA SEMASA

AMANAH sasar Putrajaya, Titiwangsa dan Labuan pada PRU16

PUTRAJAYA – Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan menyuarakan hasrat untuk diberi peluang bertanding di tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Titiwangsa dan Labuan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, ketiga-tiga kerusi berkenaan wajar dibincangkan bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) memandangkan ia bukan kerusi milik gabungan itu ketika ini.

Beliau berkata, AMANAH akan berusaha mendapatkan kepercayaan untuk bertanding di Parlimen Putrajaya bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PH.

“Insya-Allah, kami akan berusaha supaya kali ini Amanah diberi kepercayaan untuk bertanding di Putrajaya bagi memastikan kemenangan memihak kepada PH,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Ketika ini, kerusi Parlimen Titiwangsa disandang Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani daripada Barisan Nasional (BN), manakala Putrajaya disandang Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin daripada BERSATU.

Sementara itu, kerusi Parlimen Labuan disandang Datuk Suhaili Abd Rahman yang memenanginya atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU15, namun kini berstatus Ahli Parlimen Bebas selepas dipecat BERSATU pada 2023 susulan tindakannya menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button