POLITIK

AMANAH tegur kenyataan Hadi, anggap tidak bantu wacana politik matang

KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (AMANAH) menegur kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung gagasan Rumah Bangsa yang disifatkan tidak wajar dan tidak selari dengan perbincangan politik rasional.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, beliau terkejut apabila unsur seperti ‘hantu’ dijadikan kiasan dalam menilai usaha yang bertujuan menyatupadukan masyarakat.

Menurutnya, pendekatan sedemikian bukan sahaja tidak membantu meningkatkan kefahaman rakyat, malah berpotensi mengelirukan.

“Saya berpandangan perkara seperti itu tidak sepatutnya dibangkitkan dalam wacana politik kerana ia tidak membantu membina pemikiran masyarakat yang matang,” katanya pada program moreh bersama media di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Khalid berpandangan penolakan terhadap gagasan Rumah Bangsa adalah tidak berasas memandangkan ia sekadar platform untuk mempertemukan parti-parti Melayu dan membuka ruang dialog.

Katanya, beliau sendiri hadir menyaksikan perbincangan tersebut dan mendapati tiada perkara yang membimbangkan.

“Pertemuan itu hanya ruang untuk bertemu dan berbincang, bukan sesuatu yang perlu ditakuti,” ujarnya memetik laporan Sinar Online.

Beliau turut mempersoalkan percanggahan pendirian apabila wakil Pas sebelum ini menghadiri pertemuan tersebut, namun kenyataan susulan pimpinan tertinggi parti dilihat tidak selari dengan semangat keterbukaan itu.

“Usaha ke arah penyatuan sepatutnya dinilai secara terbuka dan rasional, bukan ditolak dengan alasan yang tidak kukuh,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button