‘Sejak bila PAS jadi jurucakap UMNO?’ – Danish Hairudin
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang disifatkannya terlalu bersungguh-sungguh mempertahankan UMNO.
Danish berkata, beliau pelik apabila Tuan Ibrahim mendakwa PKR hanya menumpang kekuatan UMNO, selain mempersoalkan sejak bila PAS berperanan sebagai jurucakap kepada parti berkenaan.
“Sejak bila PAS dilantik menjadi jurucakap UMNO? Atau sekarang PAS merasakan mereka lebih besar daripada UMNO sehingga boleh bercakap bagi pihak UMNO?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau mengulas demikian ketika berkongsi petikan artikel bertajuk ‘UMNO lebih besar, PKR tak layak beri amaran – Tuan Ibrahim’ bersama hantaran tersebut.
Menurutnya, jika jumlah kerusi Parlimen dijadikan ukuran seperti yang disebut Tuan Ibrahim, PKR masih mempunyai lebih banyak kerusi berbanding UMNO.
Beliau berkata, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berbanding 26 kerusi yang dimenangi UMNO.
“Selepas tiga Ahli Parlimen PKR mengosongkan kerusi, PKR masih mempunyai 28 Ahli Parlimen. UMNO pula 26. Jadi kalau matematik kerusi yang mahu dijadikan ukuran, PKR masih lebih banyak daripada UMNO,” katanya.
Danish turut menyifatkan pendirian Tuan Ibrahim sebagai bercanggah dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS itu sebelum ini ketika menyentuh rundingan antara PAS dan UMNO.
Katanya, Tuan Ibrahim sebelum ini mengingatkan supaya tidak wujud konsep ‘abang besar’ atau ‘adik kecil’ dalam rundingan PAS-UMNO dan semua pihak perlu dianggap setara.
“Bila mahu kerjasama dengan UMNO, katanya jangan ada abang besar. Bila mahu serang PKR, tiba-tiba UMNO pula jadi abang besar.
“Politik PAS ini ikut prinsip atau ikut musim?” soalnya.
Danish berkata, sekiranya UMNO mempunyai masalah dengan PKR, perkara itu sewajarnya disuarakan sendiri pimpinan UMNO dan bukannya PAS.
“Jika UMNO ada masalah dengan PKR, biarlah pimpinan UMNO sendiri bercakap. Mereka ada Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Penerangan.
“UMNO belum sampai tahap memerlukan PAS menjadi jurucakap tidak rasmi mereka,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








