BERITA SEMASAPOLITIK

PAS harap kemelut dalaman BERSATU selesai cara baik

KOTA BHARU – PAS berharap kemelut dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dapat ditangani secara harmoni berlandaskan prinsip keadilan demi kepentingan bersama, khususnya dalam memastikan kekuatan Perikatan Nasional (PN) terus terpelihara.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai rakan komponen dalam PN, PAS percaya setiap tindakan pimpinan parti perlu mengambil kira kepentingan semua pihak serta menjunjung keadilan.

“Dalam mana-mana parti, keputusan yang dibuat mestilah berasaskan kebaikan bersama. Jika parti komponen tidak kukuh, maka gabungan itu sendiri tidak akan menjadi kuat,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di sini, malam tadi.

Beliau menegaskan, perpaduan dalam kalangan pimpinan merupakan tunjang utama kepada kestabilan dan kekuatan sesebuah organisasi, selain menyifatkan sebarang isu dalaman wajar diselesaikan melalui saluran yang betul.

Menurutnya, PAS akan terus memantau perkembangan tersebut dan berharap penyelesaian terbaik dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Bagi pihak PAS sendiri, kami komited untuk menyelesaikan apa juga isu dalaman dengan cara terbaik,” katanya.

Takiyuddin mengulas laporan berhubung Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipanggil menghadiri Lembaga Disiplin parti bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pembabitannya dalam kekecohan semasa Perhimpunan Agung Tahunan serta insiden serangan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang dijadualkan memberi keterangan pada pukul 12 tengah hari, Khamis ini di ibu pejabat BERSATU.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button