Gagal urus pendaftaran pemain, MFL beri kemenangan percuma kepada NSFC dan KL City didenda RM50,000
KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan kemenangan 3-0 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) susulan kegagalan Kuala Lumpur (KL) City FC menurunkan pasukan dalam aksi Liga Super yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu.
Dalam masa sama, KL City dikenakan denda RM50,000 selain diarahkan membayar segala ganti rugi dan kos berkaitan yang ditentukan MFL.
Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL, semalam, selepas badan pengelola Liga Malaysia itu meneliti semua dokumen, laporan dan maklumat berkaitan, termasuk laporan perubatan hospital kerajaan bertarikh 24 Ogos yang dikemukakan KL City.
MFL mendapati KL City gagal menguruskan pendaftaran pemain lebih awal sehingga menyebabkan kelab itu tidak dapat menyediakan pasukan lengkap untuk menghadapi NSFC.
Hasil semakan melalui sistem MyPAS pada Sabtu lalu mendapati KL City hanya mendaftarkan 12 pemain, terdiri daripada 11 pemain dan seorang penjaga gol.
Keadaan itu jelas melanggar peraturan pertandingan Liga Malaysia yang menetapkan setiap kelab Liga Malaysia perlu mendaftarkan sekurang-kurangnya 15 pemain termasuk minimum dua penjaga gol dalam senarai pasukan.
MFL turut memaklumkan kelab berkenaan diwajibkan mendaftarkan minimum 20 pemain termasuk tiga penjaga gol sebelum perlawanan pertama Liga Malaysia musim 2026-2027.
Selain itu, KL City juga didapati tidak mematuhi peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP) berhubung keperluan melengkapkan senarai pemilihan pasukan dengan pemain dan pegawai yang ditetapkan.
Menurut MFL, Unit Pelesenan Kelab dan First Instance Body (FIB) sebelum ini sudah beberapa kali mengingatkan KL City supaya menyelesaikan denda yang dikenakan FIFA sehingga menyebabkan kelab berkenaan menerima Perintah Larangan Pendaftaran Pemain Antarabangsa.
Kegagalan mengambil tindakan proaktif terhadap perkara itu akhirnya memberi kesan kepada urusan pendaftaran pemain KL City bagi musim ini.
Sementara itu, perlawanan NSFC menentang KL City sebelum ini dibatalkan selepas KL City memaklumkan kepada MFL pada jam 12.40 tengah hari Sabtu mengenai keadaan kesihatan 13 pemain dan dua pegawai pasukan yang dilaporkan dijangkiti influenza.
MFL kemudiannya memaklumkan kepada semua kelab menerusi pekeliling bahawa perlawanan berkenaan tidak dapat dilangsungkan.
NSFC selepas itu mengemukakan surat bantahan kepada MFL dan memohon semakan menyeluruh dibuat serta keputusan ditentukan berdasarkan peraturan pertandingan Liga Malaysia.
Susulan keputusan terbaharu MFL, NSFC kini diberikan tiga mata menerusi kemenangan 3-0, manakala KL City berdepan denda RM50,000 dan liabiliti berkaitan kos serta ganti rugi yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








