BERITA SEMASADALAM NEGERI

Negeri Sembilan laksana BDR dua hari seminggu berkuat kuasa 15 April – MB

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan kerajaan negeri akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) selama dua hari seminggu bagi penjawat awam negeri, bermula 15 April ini.

Beliau berkata, kira-kira 3,000 penjawat awam dijangka mendapat manfaat daripada pelaksanaan itu, yang bertujuan mengurangkan beban perjalanan harian serta meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan tanpa menjejaskan produktiviti.

“Pelaksanaan BDR melibatkan dua sektor utama iaitu pengurusan dan pentadbiran serta operasi. Bagi sektor pengurusan dan pentadbiran seperti kewangan, pentadbiran dan sumber manusia, BDR ditetapkan dua hari seminggu, tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan,”

“Bagi sektor operasi yang melibatkan pegawai teknikal seperti jurutera, penolong jurutera, penghulu, penolong pegawai tanah, penguatkuasa dan skim lain yang berkaitan, pelaksanaan BDR dilakukan secara penggiliran.

“Langkah ini bagi memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kakitangan operasi sentiasa berada di lapangan atau di pejabat pada setiap hari bekerja,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri hari ini.

Aminuddin berkata, pendekatan tersebut selaras dengan usaha Kerajaan Persekutuan menangani tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global, termasuk kenaikan kos bahan api dan perbelanjaan harian.

Walau bagaimanapun, katanya, semua pejabat awam diwajibkan beroperasi secara fizikal pada hari Isnin dan Jumaat, dengan sektor keselamatan, kesihatan dan pendidikan tidak terlibat, termasuk petugas kaunter yang perlu kekal beroperasi secara fizikal.

“Kelulusan BDR bagi pegawai kumpulan pengurusan dan profesional perlu mendapat pertimbangan Setiausaha Kerajaan Negeri dan tidak diberikan secara automatik. Pemantauan kehadiran dijalankan secara elektronik melalui sistem SPOT-ME atau Google Live Location

“Pelaksanaan itu turut diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri, tertakluk kepada penerimaan agensi masing-masing dan boleh ditarik balik sekiranya menjejaskan keberkesanan pentadbiran negeri,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button