Netanyahu dakwa Iran cuba bunuh anak lelakinya
BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa Iran cuba membunuh salah seorang daripada dua anak lelakinya, namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung dakwaan percubaan pembunuhan itu.
Netanyahu berkata, perkara itu berlaku ketika beliau mengulas isu keselamatan membabitkan bekas Ketua Tentera Israel, Gadi Eisenkot, yang kini bertanding dalam pilihan raya dijadualkan pada 27 Oktober.
“Perkara luar biasa berlaku. Iran menyasarkan salah seorang anak saya. Iran cuba membunuh salah seorang anak saya,” katanya dalam wawancara telefon bersama Channel 14 pada Isnin.
Menurut Netanyahu, beliau menyokong penyediaan kawalan keselamatan sepanjang masa kepada Eisenkot dan menegaskan langkah berkenaan bukan satu kemewahan.
“Tanpa itu, (pihak Iran) akan berjaya,” katanya.
Netanyahu mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan, namun tidak jelas anak lelakinya yang mana didakwa menjadi sasaran.
Anak sulungnya, Yair, 35, dilaporkan menghabiskan tempoh yang panjang di Miami sejak awal 2024 dan dikatakan berada di bawah perlindungan Shin Bet.
Kehadiran Yair di Amerika Syarikat sebelum ini mencetuskan kontroversi di Israel berhubung kos yang ditanggung pembayar cukai bagi penyediaan kawalan keselamatannya.
Sebahagian penduduk di selatan Florida turut menyuarakan kebimbangan bahawa kehadiran Yair berpotensi menjadikan kawasan berkenaan sasaran serangan musuh Israel.
Sementara itu, wartawan Israel, Amit Segal, menerusi saluran Telegramnya mendakwa percubaan pembunuhan terhadap anak Netanyahu itu sudah diketahui sejak beberapa bulan lalu, namun tertakluk kepada perintah larangan laporan.
Dalam perkembangan berkaitan, Israel sebelum ini membunuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan yang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari, selain beberapa anggota keluarganya.
Seminggu kemudian, anaknya, Mojtaba Khamenei, yang merupakan salah seorang daripada enam anak pemimpin berkenaan, dinamakan sebagai pemimpin tertinggi Iran yang baharu.
Mojtaba dilaporkan tidak kelihatan di khalayak ramai sejak dilantik dan dipercayai cedera dalam serangan yang mengorbankan bapanya.
Dalam mesej yang dikaitkan dengannya dan disiarkan sempena upacara pengebumian bapanya, pemimpin baharu Iran itu dilaporkan berikrar untuk membalas kematian Ali Khamenei.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








