BERITA SEMASA

Isteri Loe Solo terus berdoa, harap usaha pencarian diteruskan

KUALA LUMPUR – “Saya hanya mahukan jawapan yang pasti mengenai keadaan suami.”

Itu harapan isteri Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe Solo yang masih belum mendapat khabar berita mengenai suaminya sejak dilaporkan hilang dalam bencana di Nepal pada 26 Ogos.

hani
Hani banyak berzikir dan membaca al-Quran bagi menenangkan diri menanti jawapan pencarian suaminya, Loe Solo (gambar kecil).

Hani Othman berkata, sejak pulang ke Malaysia pada 12 September lalu, dia tidak hanya menunggu sebaliknya terus berusaha mendapatkan sebarang maklumat mengenai suaminya menerusi komputer peribadi, telefon lama dan dokumen.

Katanya, dia turut banyak berzikir, menunaikan solat dan membaca al-Quran bagi menenangkan diri selain menerima sokongan daripada keluarga serta rakan.

“Saya yang pernah berada di sana selama 15 hari amat memahami situasi dan cabaran yang pihak kerajaan lalui.

“Walaupun saya tahu dalam kes ini hanya Allah yang boleh membantu, saya harapkan, kalau boleh, usaha mencari itu tetap diteruskan. Tidak akan ada hasil tanpa usaha fizikal,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Mohd Fakhrul dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kumpulannya dalam ekspedisi ke Everest Base Camp (EBC) melalui laluan Tibet dipercayai terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di sebuah lembah di Rasuwa.

Seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos lalu.

Hani berkata, selepas 29 hari melalui ujian berkenaan, dia dan keluarga reda dengan apa juga ketentuan Allah terhadap suaminya.

“Sebagai isteri, sudah tentu saya mahu melihat suami pulang. Namun, selepas 29 hari melalui detik yang sangat menguji ini, saya mula reda dengan ketentuan Allah.

“Apa pun bentuk takdir yang Allah tetapkan, sama ada suami kembali kepada keluarga atau pulang menemui Pencipta-Nya dalam darjat syahid akhirat, saya dan keluarga reda,” katanya.

Hani turut menyatakan kesediaannya untuk kembali ke Nepal sekiranya diberi keizinan Allah selain berpesan kepada waris mangsa agar terus berdoa, menguatkan hati dan reda dengan ketentuan-Nya.

“Semoga kita semua dikurniakan kesabaran yang luar biasa oleh Allah untuk terus tabah mengharungi ujian ini. Insya-Allah, kita mampu harungi ujian ini bersama,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button