BERITA SEMASA

Isu FELDA: Cadangan pelaksanaan audit forensik akan dibawa ke Kabinet

SERDANG – Cadangan pelaksanaan audit forensik ke atas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir pada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan, hari ini.

“Kita akan bawa untuk dibincangkan dalam Kabinet,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya audit forensik dilaksanakan terhadap FELDA bagi mengenal pasti sebarang dakwaan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau kegagalan tadbir urus.

Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab terhadap sebarang salah laku wajar dibawa ke mahkamah sekiranya terdapat bukti kukuh.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan berkenaan tidak akan digunakan untuk mengaibkan mana-mana individu.

Anwar sebelum ini berkata, FELDA menanggung hampir RM10 bilion hutang dan kerugian susulan kegagalan pengurusan serta campur tangan politik berlebihan selama bertahun-tahun.

Beliau menambah, FELDA pernah menjadi antara organisasi perladangan terbesar di dunia dan menjana keuntungan berbilion ringgit setiap tahun sebelum kedudukan kewangannya merosot.

Kerajaan kini membayar RM980 juta setahun bagi memenuhi obligasi kewangan agensi berkenaan susulan kerugian yang ditanggung di bawah pengurusan terdahulu.

Jumaat lalu, Anwar memaklumkan bahawa pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan FELDA sudah memulakan tugas dan beliau akan menunggu laporan penuh sebelum membuat pengumuman rasmi.

Tambahnya, pasukan petugas itu akan meneliti masalah FELDA pada masa lalu, pengurusan semasa serta hala tuju masa depan agensi berkenaan, dengan hasil siasatan akan didedahkan kepada umum selepas selesai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button