BERITA SEMASAPMX

‘Jangan anggap saya pro-Israel kerana hadiri sidang Apec’ – Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan untuk menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) yang bermula pada hujung minggu ini.

Menyedari keputusan itu pasti tidak menyenangkan semua pihak, Anwar berharap, beliau tidak dihukum sebagai pro Israel kerana hadir ke persidangan berkenaan, yang difahamkan setakat ini akan dihadiri semua negara Asia atas jemputan Presiden AS, Joe Biden.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan untuk menyertai persidangan itu adalah bagi menjaga kepentingan negara dari pelbagai sudut hubungan diplomatik, keselamatan dan ekonomi, serta menegaskan bahawa beliau tidak berganjak dalam mempertahankan keadilan dan perjuangan rakyat Palestin.

“Bagi saya keutamaan (adalah) jaga hubungan diplomatik dan keamanan, walaupun (pada masa yang sama) tidak berganjak dalam pertahan keadilan dan sokong perjuangan hak rakyat Palestin,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

“Saya sebagai perdana menteri nak jaga kepentingan negara ini, nak jaga keselamatan, ekonomi dan kesenangannya,” katanya yang mengakui wujud desakan supaya beliau tidak menyertai persidangan itu.

APEC merupakan forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik, dan pada tahun ini ia akan berlangsung di San Francisco dari 11 hingga 17 November.

Anggota APEC terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.

Anwar berkata, keutamaan Malaysia untuk Palestin adalah keamanan serta bantuan kemanusiaan bagi membantu kehidupan rakyat negara itu yang terjejas.

Sementara itu, Anwar turut meminta semua pihak dalam negara tidak mempolitikkan isu Palestin-Israel.

“Saya lihat kadang-kadang polemik parti dan golongan ekstrem agak melampau. Sudahlah, dalam isu Gaza ini, kita berpakatlah bersama, orang dibunuh, anak-anak kecil mati, fikirlah bersama bagaimana nak membantu,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button