BERITA SEMASA

Tahanan rumah: PM nafi buka jalan, tegas setiap banduan berhak rayu

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan beliau membuka jalan bagi pengampunan Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya menegaskan bahawa setiap banduan berhak mengemukakan permohonan pengampunan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan.

Anwar berkata, Lembaga Pengampunan mempunyai bidang kuasa untuk menilai sesuatu permohonan dengan mengambil kira nasihat perdana menteri dan peguam negara pada peringkat Kerajaan Persekutuan, manakala keputusan muktamad terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya sebut setiap banduan berhak mengemukakan (rayuan) dan saya tetap pertahan hak itu kepada sesiapa pun termasuk Najib, ada hak untuk mengemukakan rayuannya untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong.

“Ada suara-suara sumbang rakan-rakan kita dulu kata ini (kerja) Pakatan (Harapan) … boleh kritik saya tetapi (dakwaan itu) tidak betul, mereka yang ada dalam kerajaan tahu pendirian saya daripada awal … kalau nak menang undi pun bukan dengan cara menipu. (Mereka) kata sayalah yang membuka jalan, tidak betul,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC) malam tadi.

Anwar berkata, bidang kuasa berhubung pengampunan dan penganugerahan pingat merupakan budi bicara Sultan dan Raja sesebuah negeri atau Agong, selaras dengan prinsip Perlembagaan.

Tambahnya, pandangan yang disampaikannya sebelum ini berkaitan pengampunan bekas perdana menteri itu bukan bertujuan mempengaruhi keputusan berkenaan, sebaliknya turut menyentuh kira kes-kes yang masih berjalan, jumlah denda yang besar serta kesannya kepada keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan pandangan antarabangsa.

Pada masa sama, Anwar berkata, pemberian pengampunan tidak menghalang proses perundangan terhadap kes-kes lain yang masih berjalan, termasuk kes berkaitan 1MDB dan kes sivil.

Beliau turut menegaskan pendirian kerajaan Madani untuk terus memerangi rasuah dan memastikan kes-kes berkaitan salah guna kuasa disiasat serta dibawa melalui proses undang-undang.

Pada Jumaat, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat buat Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara, Jumaat lepas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button