BERITA SEMASAPMX

PM mahu kewujudan sekolah aliran Cina, Tamil dihormati

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sistem persekolahan aliran Cina dan Tamil di negara ini dihormati dan diberi ruang.

Menurut Perdana Menteri, sistem persekolahan vernakular itu telah diwarisi rakyat di negara buat sejak sekian lama.

“Kita warisi satu sistem di mana ada Sekolah Kebangsaan (SK) untuk pelbagai kaum tetapi ada juga sekolah aliran Cina serta sekolah aliran Tamil.

“Ia kerana ada kawasan (penempatan) Melayu sehingga 100 peratus, ada juga kawasan majoriti Cina dan India.

“Itu satu kenyataan (sekolah vernakular) yang tak semestinya kita ubah.

“Peranan kita adalah untuk memberikan ruang kepada mereka. Kenal dan hormat,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan beliau sebelum menyempurnakan Majlis Sambutan Minggu Perpaduan di Angsana Mall, Johor Bahru malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir bagi merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Mall Johor Bahru. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sambutan Minggu Perpaduan anjuran KPN adalah inisiatif di bawah agenda perpaduan nasional yang merangkumi tiga kluster utama iaitu Semarak Perpaduan, Semarak Kenegaraan dan Komuniti Rahmah.

Ia bermatlamat menyemarakkan semangat perpaduan selain menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, perbezaan kaum, warna kulit dan bahasa itu juga ada disebut dan diiktiraf dalam al-Quran.

“Kita tak boleh lari dari gesaan dan anjuran al-Quran. Kita lahir dari kaum berbeza, kabilah berbeza. Wilayah dan negeri berbeza, begitu juga warna kulit dan bahasa berbeza.

“Al-Quran menyebut perbezaan itu perlu diiktiraf untuk kita saling mengenali dan menghormati,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button