Kerajaan hormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung geran khas Sabah – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan menghormati proses undang-undang serta keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung semakan terhadap geran khas Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI mengambil maklum keputusan tersebut dan akan meneliti alasan penghakiman bertulis sebaik sahaja diterima bagi memastikan kepentingan terbaik Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.
“Kita mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober berhubung semakan geran khas Persekutuan untuk Sabah.
“Kerajaan MADANI menghormati proses undang-undang dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi sebaik sahaja diterima, memandangkan ia belum dikemukakan, sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Langkah ini akan dibuat berdasarkan nasihat Peguam Negara, demi kepentingan terbaik Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya pada sesi khas di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan antara lain bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah perlu menjalankan semakan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan ini mengundang tafsiran yang mengelirukan seolah-olah bahawa kononnya Kerajaan Persekutan hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah.
“Bagi menghormati proses perundangan yang mungkin masih berlangsung, Kerajaan Persekutuan tidak dapat memperincikan apa jua perkara yang masih menjadi pertikaian di mahkamah,” katanya.
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti keputusan mahkamah berhubung hak Sabah terhadap 40 peratus hasil pendapatan Persekutuan sebelum menentukan sebarang tindakan selanjutnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








