Komen Bill O’Reilly cerminan kejahilan, sikap angkuh
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kenyataan bekas hos Foxs News, Bill O’Reilly yang menyifatkan Malaysia tidak mempunyai kuasa membeli dan miskin sebagai gambaran sikap ekstrem, angkuh dan jahil.
Menurut Anwar, kenyataan tersebut menunjukkan O’Reilly seorang yang dangkal ilmu dan tidak memahami realiti dunia luar dari negaranya.
“Ia memperlihatkan pemikiran sempit apabila menganggap hanya kelompok dan negaranya sahaja yang paling berjaya tanpa memiliki kefahaman mendalam tentang Asia, ASEAN mahupun sistem perlembagaan baharu yang sedang dibentuk di rantau ini.
“Ini yang kita sebut dalam bidang ilmu Sains sebagai pemikiran yang terperangkap dan terbelenggu oleh cara fikir kolonial dan imperialisme,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 peringkat Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Justeru, beliau menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya terlalu risau dengan pandangan yang dangkal dan tidak berasas.
“Jadi kita jangan terlalu gusar dengan perkara yang masih tiada. Ini akan menyebabkan ada sikap Islamofobia, anti kaum lain kerana kejahilan,” ujarnya.
Terdahulu, O’Reilly dalam komentar videonya memperlekehkan Malaysia, Vietnam dan Kemboja yang dikunjungi oleh Presiden China, Xi Jinping sebagai negara miskin dan tidak mempunyai kuasa membeli dari China.
O’Reilly turut berkata, rakyat Malaysia terutama orang Melayu tidak mempunyai wang untuk berbelanja sebaliknya kuasa membeli utama ada pada Amerika Syarikat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








