Anwar gesa kukuhkan tatakelola, elak ‘rompakan setiap minit’ dalam era AI
CYBERJAYA – Kegagalan memastikan tatakelola yang telus dan pengawasan yang rapi dalam melaksanakan penswastaan dalam era kecerdasan buatan (AI) mampu mencetuskan bentuk penindasan moden yang disifatkan sebagai “rompakan setiap minit”.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya prinsip keadilan dan ketelusan diketepikan dalam mana-mana proses pengurusan atau penswastaan, ia tidak ubah seperti ‘piratetisation’ atau penswastaan yang hanya menguntungkan kelompok tertentu.
“Anak-anak muda harus renung cerita dia iaitu… bila sang penguasa berkuasa kadang-kadang ada yang zalim setiap tahun dia pergi jelajah daerah punggah segala kekayaan dan harta rakyat tapi dia lakukan hanya setahun sekali…”
“…itu yang dikatakan rompakan yang dilakukan penguasa tapi kalau kaedah privatisation itu tidak ikut kaedah dan telusnya, rompakan itu berlaku setiap minit” katanya memetik pandangan tokoh ekonomi politik terkenal, Mancur Olson.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan perasmian Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) di Universiti Multimedia (MMU) di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.
Dengan pelancaran fakulti itu, MMU melakar sejarah sebagai universiti swasta pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan FAIE, sekali gus memperkukuh keupayaan negara dan aplikasinya dalam bidang tersebut.
Mengulas pandangan Olson lagi, Anwar berkata, penswastaan dianggap sebagai kaedah meningkatkan kecekapan dan manfaat kepada negara serta pekerja, namun tidak boleh dianggap sebagai solusi mutlak.
“Kita andaikan bila ‘privatise’ itu lebih efisyen dan beri lebih faedah kepada pekerja dan negara. Andaian itu sebahagiannya tepat tapi tidak semuanya,” katanya.
Pada masa yang sama, Anwar turut membawa pandangan tokoh pengurusan, Peter Drucker, yang mengakui bahawa dalam sesetengah keadaan, jabatan kerajaan masih mampu berfungsi lebih baik berbanding syarikat yang telah diswastakan.
Sebagai contoh, beliau menyentuh pengalaman negara dengan Malaysia Airlines (MAS) yang pernah menjadi antara syarikat penerbangan terbaik di rantau ini, namun terjejas selepas diswastakan secara tidak telus.
“Contohnya MAS tersohor antara syarikat paling berjaya di rantau ini bila diswastakan dengan kaedah yang tidak telus lingkup, berbilion kita tanggung barulah dalam 2 hingga 3 tahun ini naik semula.”
Tegas beliau, kejayaan dalam apa jua transformasi termasuk dalam pelaksanaan teknologi seperti AI hanya akan dicapai jika ia didasari oleh prinsip tatakelola yang kukuh serta dasar yang jelas.
“Prinsipnya masih tatakelola, proper governance, policies and elak daripada rasuah untuk menentukan ia berhasil,” tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








