NACSA, MCMC, IBM jalin kerjasama bangunkan Sovereign AI
CYBERJAYA – Malaysia mengorak langkah bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam era transformasi digital menerusi Kecerdasan Buatan Berdaulat (Sovereign AI) dan pengkomputeran kuantum.
Bagi tujuan itu, Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IBM Malaysia Sdn. Bhd. bagi meneroka kerjasama strategik dalam bidang berkenaan.
Majlis pemeteraian MoU tersebut turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Kebangsaan 2026, hari ini.
Kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen bersama untuk meneroka penubuhan Pusat Kecemerlangan Kebangsaan Kuantum dan Kecerdasan Buatan (National Quantum and Artificial Intelligence Centre of Excellence, NQAIC) sebagai platform nasional bagi mempercepat inovasi, memperkukuh keupayaan negara serta mempersiapkan Malaysia menghadapi peluang dan cabaran teknologi baharu.
“Inisiatif ini akan turut menyokong aspirasi jangka panjang negara dalam membangunkan keupayaan kecerdasan buatan dan teknologi kuantum yang dipercayai, selamat, berdaya tahan serta sejajar dengan kepentingan nasional.
“Selain itu, ia dijangka memperkukuh ekosistem digital negara melalui pembangunan bakat tempatan, pengukuhan penyelidikan, pemacuan inovasi serta sokongan terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
NQAIC akan berfungsi sebagai platform kolaboratif yang menghubungkan kerajaan, institusi akademik, industri dan rakan strategik bagi memudah cara perkongsian ilmu, pembangunan keupayaan, kerjasama penyelidikan serta inovasi dalam bidang kecerdasan buatan dan teknologi kuantum.
MoU itu menggariskan tiga bidang kerjasama utama iaitu pembangunan ekosistem, tadbir urus dan keselamatan yang dipercayai, serta pembangunan inovasi, keupayaan dan bakat.
Menerusi pembangunan ekosistem, semua pihak akan meneroka penubuhan NQAIC melalui kerjasama erat antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, industri dan rakan strategik, selain menyokong pembangunan serta penggunaan teknologi AI dan kuantum secara bertanggungjawab.
Bagi aspek tadbir urus dan keselamatan, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan pendekatan yang selamat, dipercayai dan berdaya tahan terhadap teknologi AI dan kuantum, selaras dengan keutamaan nasional, di samping memperkukuh daya tahan digital negara.
Sementara itu, berkenaan pembangunan inovasi, keupayaan dan bakat, kerjasama tersebut akan meneroka peluang memperkukuh keupayaan negara menerusi perkongsian pengetahuan, penyelidikan, kerjasama teknikal, inovasi dan pembangunan modal insan dengan memanfaatkan kepakaran serta amalan terbaik di peringkat global.
Kerjasama strategik itu berpandukan prinsip berkecuali teknologi, tadbir urus yang dipercayai, inovasi bertanggungjawab dan keterbukaan kepada kerjasama strategik.
Ia juga mencerminkan komitmen Malaysia untuk membangunkan keupayaan teknologi yang dapat meningkatkan daya tahan negara, di samping memacu inovasi yang memberi manfaat kepada kerajaan, industri dan masyarakat.
Melalui kerjasama itu, NACSA, MCMC dan IBM meletakkan asas bagi memperkukuh keupayaan Malaysia dalam teknologi termaju, meningkatkan daya tahan digital negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau yang dipercayai dalam bidang Kecerdasan Buatan Berdaulat, inovasi kuantum dan infrastruktur digital yang selamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















