6 Pengerusi Panel Penasihat NADI Melaka dilantik
CYBERJAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan watikah pelantikan kepada enam Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Negeri Melaka di NADI Taman Seri Telok Mas.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pelantikan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh peranan NADI sebagai hab komuniti setempat yang membantu merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi serta menyampaikan manfaat program kerajaan secara lebih berkesan.
“Panel Penasihat berperanan memperkukuh penyertaan masyarakat, menjadi penghubung antara komuniti, pemimpin tempatan dan agensi berkaitan, serta memastikan program dilaksanakan mengikut keperluan setempat.
“Ketika ini, sebanyak 39 NADI beroperasi di Melaka dengan fokus kepada akses internet, Program Perkhidmatan Pintar NADI dan penyampaian maklumat kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebelum ini, pelaksanaan Panel Penasihat NADI turut melibatkan beberapa negeri lain iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah dengan 114 pengerusi panel telah dilantik.
Ujarnya, peranan NADI diperkukuh apabila diiktiraf sebagai Pusat Transformasi Digital (DTC) oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada 25 April lalu, sekali gus membuktikan usaha yang dilaksanakan dalam komuniti memberi impak besar hingga mendapat pengiktirafan di peringkat global.
Dalam majlis itu, Fahmi turut merasmikan NADI Taman Seri Telok Mas dan menyerahkan 25 peranti elektronik kepada pemandu p-hailing bagi menyokong penggunaan teknologi digital untuk pekerjaan dan penjanaan pendapatan
Turut serta ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








