BERITA SEMASA

Ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap: MCMC jalankan siasatan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap, susulan beberapa aduan yang diterima daripada orang awam.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, sebagai sebahagian daripada siasatan, seorang individu telah memberikan keterangan kepada pihak MCMC pada hari ini.

“Sebuah telefon bimbit disita bagi membantu siasatan. Individu-individu lain yang berkaitan akan turut dipanggil sekiranya perlu, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya hari ini.

Katanya, Jalur Gemilang adalah simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan.

Ujarnya, penggunaan ilustrasi yang tidak tepat, khususnya di platform dalam talian, boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam.

“Sehubungan dengan itu, MCMC menyeru semua pengguna media sosial agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan khususnya dalam era teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan penjana kandungan digital.

“Amalan kawal selia kendiri dan semakan fakta yang teliti adalah amat penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.

“MCMC komited untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button