BERITA SEMASA

MCMC, Negeri Sembilan perkukuh usaha lindungi infrastruktur awam

SEREMBAN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama kerajaan negeri memperkukuh usaha melindungi infrastruktur awam dan komunikasi menerusi pelancaran Kempen Pencegahan Vandalisme Peringkat Negeri Sembilan 2026.

Menurut MCMC, kempen tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam membanteras aktiviti vandalisme dan kecurian terhadap kemudahan awam, khususnya yang melibatkan infrastruktur kritikal seperti rangkaian komunikasi dan utiliti.

“Kempen itu bertujuan memberi kesedaran mengenai kesan jenayah vandalisme terhadap kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perkhidmatan penting.

“Kerosakan terhadap kemudahan seperti menara komunikasi dan rangkaian gentian optik boleh menyebabkan gangguan serius kepada perkhidmatan internet dan komunikasi yang kini menjadi keperluan asas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mcmc
EXCO Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Seong mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Peringkat Negeri Sembilan 2026.

Terdahulu majlis pelancaran telah disempurnakan oleh EXCO Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Seong mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir wakil agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, penyedia utiliti, pemain industri telekomunikasi serta komuniti setempat.

Dalam pada itu katanya, inisiatif tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) serta Telekom Malaysia (TM), dengan sokongan komuniti setempat.

Katanya, keperluan mempergiat usaha pencegahan turut didorong insiden pencerobohan dan kerosakan kemudahan komunikasi di sekitar Kuala Pilah yang menjejaskan 14 menara dan memberi kesan kepada lebih 1,600 pengguna.

“Insiden berkenaan menunjukkan perbuatan tidak bertanggungjawab bukan sahaja merosakkan harta awam, malah memberi impak langsung kepada kehidupan harian masyarakat.

“Sebagai sebahagian daripada program, kempen ini turut merangkumi pameran dan ceramah kesedaran bagi mendidik orang ramai tentang kepentingan melindungi infrastruktur awam serta peranan komuniti dalam mencegah vandalisme dan kecurian,” katanya.

Sementara itu katanya, MCMC dan Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama melalui pendekatan bersepadu melibatkan pendidikan, kesedaran awam dan tindakan pencegahan bagi memastikan keselamatan infrastruktur serta kelangsungan perkhidmatan kepada rakyat sentiasa terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button