BERITA SEMASA

MCMC siasat pemilik TikTok muat naik komen jelik

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyiasat seorang lelaki selepas disyaki memuat naik komen jelik yang melibatkan elemen 3R di TikTok.

MCMC berkata, suspek yang merupakan seorang penjawat awam berumur 29 tahun itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk disoal siasat.

Jelas MCMC, pihaknya telah mengendalikan siasatan tersebut di Sungai Petani, Kedah pada Khamis lalu susulan menerima aduan berkaitannya.

“MCMC telah menemukan akaun TikTok yang disiasat pada telefon pintar suspek.

“Kesemua barangan kes yang berkaitan dirampas dan disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian dengan membuat hantaran bertentangan undang-undang khususnya yang berunsurkan elemen 3R.

“Penjawat awam juga diingatkan untuk tidak menggunakan media sosial bagi tujuan menyebarkan mesej yang melanggar undang-undang negara seperti yang terkandung dalam peringatan berkaitan arahan larangan membuat pernyataan awam oleh pegawai awam,” tegas MCMC lagi.

Terdahulu, pihak MCMC telah menyerahkan notis kehadiran kepada suspek terbabit pada hari yang sama dengan mengikut prosedur yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button