BERITA SEMASA

Pahang jadi tuan rumah kedua GDPM Fest 2025 – MCMC

KUANTAN – Pahang menjadi negeri kedua selepas Johor menganjurkan Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 yang berlangsung hari ini di Swiss-BelHotel, Kuantan.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penganjuran program itu mencerminkan komitmen kerajaan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya dalam sektor kesihatan, tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi.

MCMC berkata, program berkenaan juga bertujuan memperkasa penerapan penyelesaian teknologi masa hadapan dalam kalangan PMKS, selain membentuk ekosistem penjagaan kesihatan lebih cekap dan inklusif bagi menghadapi cabaran mendatang.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir. Razali Kassim dengan kehadiran pegawai kanan MCMC dan rakan strategik seperti Kementerian Kewangan, Bank Simpanan Nasional, Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia serta penyedia perkhidmatan teknologi kesihatan masa hadapan.

Pelbagai aktiviti turut dianjurkan termasuk demonstrasi teknologi masa hadapan, perkongsian transformasi penjagaan kesihatan, pengalaman realiti maya (VR) dan sesi kesedaran kepentingan penggunaan teknologi bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

“GDPM Fest 2025 membawa inisiatif itu ke peringkat akar umbi melalui pendekatan setempat yang lebih dekat dengan komuniti perubatan dan usahawan kesihatan tempatan.

“MCMC turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kesedaran mengenai Guideline on Online Healthcare Services (OHS) bagi memastikan penggunaan platform kesihatan masa hadapan yang selamat, bertanggungjawab dan beretika,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MCMC berkata, pihaknya berharap program itu dapat menyokong usaha negara ke arah mewujudkan ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih pintar, cekap dan inklusif demi kesejahteraan komuniti perubatan, PMKS dan rakyat.

Selepas Johor dan Pahang, Kota Kinabalu di Sabah akan menjadi destinasi seterusnya bagi penganjuran GDPM Fest 2025 pada 24 Ogos ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button