BERITA SEMASA

MCMC siasat akaun Facebook “Vikke Lee” disyaki hina Sultan Selangor

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan berhubung kandungan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook “Vikke Lee” yang disyaki mengandungi unsur jelik melampau serta menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Kandungan berkenaan dipercayai mempunyai unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Menurut MCMC, rakaman percakapan telah dijalankan di Balai Polis Sri Petaling bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Selain itu katanya, pihak berkuasa turut menyita sebuah telefon bimbit bersama satu kad SIM.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, MCMC memandang serius penyebaran kandungan dalam talian yang disyaki mengandungi maklumat palsu atau unsur penghinaan terhadap institusi diraja, khususnya kandungan yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu katanya, orang ramai diingatkan supaya menggunakan platform media sosial secara bertanggungjawab serta tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan yang melanggar undang-undang negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button