BERITA SEMASA

JBPM terima dua helikopter baharu tingkat keupayaan operasi udara

SUBANG – Keupayaan operasi udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dijangka meningkat kepada 85 peratus berbanding 50 peratus ketika ini menerusi penambahan dua helikopter AW139 baharu yang dilengkapi Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Helikopter (HEMS).

Penambahan aset berkenaan menjadikan keseluruhan helikopter milik JBPM meningkat kepada 10 buah, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan pasukan itu dalam melaksanakan pelbagai misi menyelamat dan kecemasan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penambahan dua helikopter berkenaan bukan sahaja memperkukuh aset udara jabatan itu, malah membolehkan operasi menyelamat dilaksanakan dengan lebih pantas.

“Penambahan dua helikopter AW139 ini bukan sekadar memperkukuh aset udara JBPM, tetapi meningkatkan keupayaan kita untuk bertindak lebih pantas dalam menyelamatkan nyawa dan melindungi keselamatan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Helikopter berkenaan akan digunakan bagi menyokong pelbagai operasi termasuk pemadaman kebakaran hutan, mencari dan menyelamat (SAR), pemindahan pesakit (MEDIVAC), ambulans udara serta bantuan logistik.

Bagi memastikan pengoperasian aset baharu itu berjalan lancar, seramai 12 juruterbang dan 12 kru penerbangan turut menjalani latihan khusus untuk mengendalikan helikopter berkenaan.

Penambahan itu merupakan sebahagian usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memodenkan aset serta meningkatkan kepakaran JBPM bagi memastikan perkhidmatan penyelamatan negara dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button