Remaja Orang Asli cedera tangan tersepit mesin pengisar daging
IPOH – Seorang remaja lelaki Orang Asli berusia 19 tahun mengalami kecederaan selepas tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar daging di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Ringan Bercham 10, di sini semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.41 petang.
Menurutnya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati tangan kanan mangsa masih tersepit di dalam mesin pengisar daging, namun mangsa berada dalam keadaan sedar.
“Ketua operasi kemudian mendapatkan bantuan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi untuk memberikan bius pada tangan mangsa kerana dia mengalami kesakitan ketika operasi menyelamat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan konsep SAVER dengan anggota bomba memisahkan serta memotong bahagian mesin menggunakan peralatan khas.
Bagaimanapun, usaha mengeluarkan tangan mangsa berdepan kesukaran apabila bahagian acuan mata pengisar yang diperbuat daripada keluli tahan karat tidak dapat dipotong sepenuhnya.
“Kerja memotong mesin dilakukan sehingga ke bahagian acuan mata pengisar, namun tangan kanan mangsa masih gagal dikeluarkan.
“Keadaan mangsa yang semakin lemah menyebabkan operasi menyelamat dihentikan sebelum perbincangan lanjut dibuat bersama pasukan perubatan,” katanya lagi.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








