BERITA SEMASA

Misi sifar bersih karbon 2050: KPKT fokus pengurangan 15 peratus sisa ke tapak pelupusan

BUKIT TINGGI – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat merealisasikan misi pengurangan karbon melalui penurunan 15 peratus sisa ke tapak pelupusan menjelang 2030, selari dengan sasaran pelepasan sifar bersih karbon negara 2050.

Bagi menyokong usaha itu, KPKT melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) buat julung kalinya menganjurkan Simposium Reformasi Pengurusan Sisa Pepejal Negara 2025 yang berlangsung di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT), Bukit Tinggi, Pahang, hari ini.

Disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, penganjuran simposium itu merupakan platform penting bagi membincangkan pelbagai aspek reformasi dalam sektor pengurusan sisa pepejal, termasuk penciptaan nilai baharu, peluang pekerjaan hijau dan inovasi teknologi.

Aiman Athirah berkata, simposium itu menekankan keperluan negara untuk beralih daripada sistem pelupusan linear kepada pendekatan pemulihan sumber serta pelaksanaan ekonomi kitaran, selaras dengan Blueprint Ekonomi Kitaran 2024 dan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 11 dan 12.

“Selain itu, simposium itu dijangka menjadi acara tahunan dan platform strategik bagi merangka hala tuju baharu serta reformasi dasar dalam memastikan sistem pengurusan sisa pepejal negara menuju ke arah negara rendah karbon, lestari dan berdaya tahan menjelang 2030,” katanya.

Simposium yang dianjurkan dengan kerjasama Waste Management Association of Malaysia (WMAM) itu menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada wakil kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), industri, akademik serta pakar antarabangsa.

Pelbagai teknologi terkini turut diketengahkan dalam simposium tersebut, termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam proses pemulihan bahan, sistem ‘smart baling’, serta pendekatan ‘waste-to-energy’.

Forum bertajuk ‘Adaptation of AI in Solid Waste Management’ juga diadakan dengan penyertaan panel tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan cabaran serta potensi pelaksanaan teknologi pintar dalam sektor pengurusan sisa pepejal.

Tambah Aiman Athirah, kepentingan pembaharuan dasar, penggunaan teknologi hijau serta penglibatan aktif komuniti dalam memastikan sistem pengurusan sisa negara perlu kekal relevan dan berdaya saing, seiring aspirasi Malaysia MADANI.

“Program ini juga dilihat sebagai usaha memperkukuh peranan I-KPKT sebagai pusat kecemerlangan pengurusan sisa di bawah KPKT, selaras dengan objektif memperkasa latihan kapasiti serta memperluas kolaborasi strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button