Dewan Rakyat: KPKT perkasa pembangunan 613 Kampung Baru Cina – Aiman Athirah
KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa pembangunan 613 Kampung Baru Cina berdaftar di seluruh negara akan terus diperkasa, namun pada masa sama memastikan semua komuniti lain termasuk masyarakat India turut menikmati pembangunan yang adil dan seimbang.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, Kampung Baru Cina kini kembali di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) manakala pembangunan penempatan lain diselaraskan oleh kementerian serta agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Menurut beliau, kampung tradisi berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Pejabat Tanah dan Daerah, manakala kawasan taman perumahan pula diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Kita juga mengambil berat sahabat-sahabat kita daripada kaum India. Mereka adalah rakyat negara ini dan mereka juga perlu dibangunkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Perikatan Nasional-Maran) yang mencadangkan supaya Kampung Baru Cina disusun semula dan melibatkan lebih banyak penyertaan pelbagai kaum.
Aiman Athirah berkata, sudah tiba masanya semua pihak tidak lagi melihat Kampung Baru Cina melalui sejarah penubuhannya ketika era darurat, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membangunkan komuniti yang menetap di kawasan berkenaan.
“Saya kira sudah sampai masanya kita berhenti melihatnya sebagai satu strategi rancangan Briggs.
“Apa yang lebih penting ialah memastikan pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat di mana sahaja mereka berada,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












