BERITA SEMASA

Industri landskap sumbang RM39.4 bilion kepada KDNK, diiktiraf sebagai sektor ekonomi strategik

PUTRAJAYA – Industri landskap negara terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila menyumbang sebanyak RM39.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu, meningkat berbanding RM35.68 bilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata angka itu berdasarkan kepada 24 jenis industri berkaitan yang dikenal pasti menerusi kod Klasifikasi Perindustrian Standard Malaysia (MSIC).

Beliau berkata demikian ketika merasmikan prapelancaran sambutan Hari Landskap Negara 2025 di sini hari ini.

“Melihat kepada potensi besar industri ini, kementerian berhasrat mengangkat industri landskap sebagai sektor ekonomi strategik, bukan sahaja dalam mempertingkatkan aspek estetika dan kualiti hidup rakyat, malah sebagai pemacu pendapatan serta penciptaan peluang pekerjaan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Johor muncul sebagai negeri dengan kawasan penanaman bunga dan tumbuhan landskap terbesar, iaitu meliputi 39,600 hektar daripada keseluruhan 45,300 hektar di seluruh negara.

Sektor pembinaan turut mencatatkan pertumbuhan positif apabila sebanyak 20,537 syarikat kontraktor landskap kini berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Tambah Kor Ming, sambutan Hari Landskap Negara tahun ini bakal berlangsung di Taman Bandar, Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor, selama enam hari bermula 25 Jun ini, dengan sasaran transaksi melebihi RM10 juta, mengatasi pencapaian tahun lalu.

Beliau turut menarik perhatian bahawa perkembangan industri landskap turut bergerak seiring dengan sektor hartanah negara, yang mencatatkan nilai jualan RM230 bilion tahun lalu, meningkat sebanyak 18 peratus dan melibatkan lebih 42,000 unit hartanah.

“Komponen landskap adalah antara elemen penting dalam nilai jual beli hartanah. Justeru, landskap bukan lagi sekadar hiasan semata-mata, tetapi satu pelaburan bernilai tinggi yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara,” jelasnya.

Industri landskap kini berada pada landasan yang kukuh untuk menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi, selari dengan agenda pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button