BERITA SEMASA

PMR 2026 Perak buka tirai, 200 perkhidmatan kerajaan ditawar kepada rakyat

IPOH – Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 membuka tirai secara rasmi di Perak hari ini sebagai lokasi pertama penganjuran tahun ini dengan menawarkan lebih 200 perkhidmatan kerajaan secara terus kepada rakyat.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 April di Bulatan Sultan Azlan Shah, Persiaran Meru itu menjadi platform penting dalam usaha mendekatkan perkhidmatan awam kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Bertemakan “Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni”, penganjuran kali ini memberi fokus kepada pembangunan bandar mampan, penyediaan perumahan berkualiti serta pembentukan komuniti sejahtera.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kementeriannya berbangga menjadi peneraju penganjuran bersama Kerajaan Negeri Perak.

Menurut beliau, PMR bukan sekadar program biasa, sebaliknya menjadi platform bersepadu yang memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi.

“Usaha ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos rakyat, malah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

“Kami mengalu-alukan kehadiran semua lapisan masyarakat untuk memanfaatkan peluang yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang penganjuran, pengunjung bakal disajikan pelbagai pengisian menarik termasuk perkhidmatan agensi kerajaan, inisiatif kesejahteraan dan kesihatan, Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI, peluang pekerjaan serta aktiviti komuniti dan hiburan keluarga.

Sebagai kementerian peneraju, pavilion Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti permohonan pengesahan projek perumahan terbengkalai, promosi pemilikan rumah, hebahan dasar perbandaran serta kempen kesedaran berkaitan pengurusan sisa dan keselamatan komuniti.

Bagi memeriahkan suasana, beberapa pentas turut disediakan termasuk Pentas Utama yang menampilkan slot interaktif bersama agensi serta persembahan kebudayaan, Pentas Mini dengan sesi perkongsian ilmu dan demonstrasi keselamatan, selain Pentas Selera Perak yang menggabungkan sajian tempatan bersama persembahan busking.

Program itu beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada Ahad sehingga pukul 6 petang.

Majlis perasmian rasmi dijadualkan berlangsung esok dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Penganjuran PMR 2026 Perak dilihat sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat memperoleh akses kepada perkhidmatan awam yang inklusif, di samping memperkukuh daya tahan komuniti dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button