BERITA SEMASADALAM NEGERI

Lebih 160,000 panggilan palsu, KPT minta orang ramai guna talian 999 dengan berhemah

PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, mengingatkan orang ramai agar menggunakan talian kecemasan 999 secara bertanggungjawab susulan pelaksanaan sistem baharu Next Generation Emergency Services 999 (NG999) yang menggantikan Malaysian Emergency Responses 999 (MERS999) mulai hari ini.

Beliau berkata, NG999 menawarkan keupayaan lebih canggih termasuk perkongsian data antara pusat panggilan dan agensi berkaitan, selain kebolehan mengesan lokasi kejadian dengan lebih tepat bagi mempercepatkan respons penyelamatan.

“NG999 turut memanfaatkan teknologi moden seperti analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk memastikan bantuan kecemasan disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya pada satu sidang media di sini.

Beliau berkata, sepanjang Januari sehingga September tahun ini, sebanyak 169,015 panggilan palsu, bersamaan 2.28 peratus daripada jumlah panggilan MERS999 direkodkan.

Jelas beliau, tindakan tidak bertanggungjawab itu memberi kesan serius terhadap masa tindak balas pasukan penyelamat.

“Panggilan palsu mewujudkan lompang perlindungan apabila pasukan penyelamat tidak dapat digerakkan ke lokasi sebenar yang memerlukan bantuan segera,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa membuat panggilan palsu ke talian 999 adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Selain itu, pelaku juga boleh didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam, dengan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

“Saya menyeru kerjasama semua pihak untuk tidak mengulangi perbuatan ini demi menjaga keselamatan orang awam. Mana-mana pihak yang menyalahgunakan sistem kecemasan akan berdepan tindakan undang-undang tegas,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button