BERITA SEMASA

KPKT kaji bantuan perumahan mangsa kebakaran paip gas

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti mekanisme bantuan perumahan bagi mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Selangor, yang mengakibatkan kehilangan tempat tinggal.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Nga Kor Ming berkata, kementeriannya menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dan Petronas bagi memastikan bantuan perumahan dapat disalurkan segera.

“Siasatan mengenai punca kebakaran masih dijalankan, namun KPKT bersedia untuk berunding dengan semua pihak berkepentingan bagi menyelaraskan bantuan perumahan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini, mangsa yang kehilangan kediaman telah ditempatkan di Masjid Nurul Iman Puchong dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 78 rumah dan 10 premis perniagaan musnah dalam kebakaran itu, manakala 237 rumah lain turut mengalami kerosakan.

Secara keseluruhan, kejadian tersebut melibatkan 305 mangsa dengan 125 daripadanya mengalami kecederaan.

Sementara itu, Perdana Menteri yang turun padang melawat tapak kejadian turut mengumumkan bantuan kewangan segera sebanyak RM5,000 kepada mangsa yang kehilangan rumah sepenuhnya dan RM2,500 bagi mereka yang rumahnya mengalami kerosakan sebahagian.

Dalam pada itu, Nga merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan, termasuk anggota JBPM, serta pihak pengurusan Masjid Nurul Iman Puchong, Masjid Putra Heights dan Kuil Sri Maha Kaliamman yang tampil membantu mangsa tanpa mengira kaum dan agama.

“KPKT juga sedang meneliti langkah-langkah untuk mempercepatkan proses pembinaan semula atau baik pulih rumah yang terjejas bagi memastikan mangsa dapat kembali ke kediaman mereka secepat mungkin,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button