PRN Melaka: Tuntutan kerusi terbatas, UMNO belum anggap WAWASAN setanding PAS
KUALA LUMPUR – Hasrat Parti Wawasan Negara (WAWASAN) untuk mempertahankan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berdepan cabaran apabila kekuatan parti itu belum dilihat setanding PAS dalam pertimbangan rundingan kerusi antara parti politik.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, kedudukan WAWASAN dalam rundingan berkenaan bergantung pada sejauh mana UMNO mengiktiraf kekuatan organisasi, pengaruh dan keupayaannya menggembleng sokongan pengundi.
Menurutnya, UMNO dilihat tidak meletakkan WAWASAN pada kedudukan setara dengan PAS dari segi pengaruh, jentera pilihan raya dan kemampuan menarik undi sekali gus mengehadkan ruang tawar-menawar parti itu.
“Kenyataan sebahagian pemimpin UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini yang memperlihatkan keterbukaan terhadap PAS, memberikan isyarat bahawa penerimaan tersebut tidak semestinya diperluaskan kepada WAWASAN.
“Dalam konteks perundingan kerusi, pendirian ini boleh dibaca sebagai kecenderungan mengetepikan tuntutan WAWASAN. Ertinya, hubungan WAWASAN dengan PAS sahaja belum memadai untuk menjamin penerimaan UMNO terhadap penyertaan parti itu,” katanya.
Terdahulu, Presiden WAWASAN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan parti itu berhasrat bertanding di DUN Sungai Udang dan Bemban pada PRN Melaka yang akan berlangsung pada 14 November ini.
Hamzah berkata, kedua-dua kerusi berkenaan dimenangi Perikatan Nasional (PN) menerusi BERSATU pada PRN Melaka 2021, justeru WAWASAN yang juga komponen gabungan itu mahu mempertahankannya.
Bagaimanapun, Hisommudin berkata, hujah bahawa Sungai Udang dan Bemban merupakan kerusi milik WAWASAN perlu diteliti berdasarkan realiti politik semasa.
Menurutnya, kemenangan di kedua-dua kerusi itu dicapai atas tiket BERSATU dalam PN, dengan sokongan jentera dan pengundi gabungan ketika itu.
“Oleh itu, kemenangan tersebut tidak boleh dipindahkan secara automatik menjadi hak politik WAWASAN kerana kekuatan sesebuah parti perlu dinilai berdasarkan keupayaan semasanya,” katanya lagi.
Beliau berkata, UMNO dan berkemungkinan sebahagian pemimpin PAS juga belum melihat WAWASAN membuktikan kekuatan setanding BERSATU ketika kemenangan itu dicapai.
Sehubungan itu, katanya, WAWASAN perlu mengemukakan justifikasi lebih kukuh bagi menyokong tuntutan berkenaan termasuk dari segi kekuatan organisasi, penerimaan calon, sokongan akar umbi dan keupayaan menyumbang undi.
“Sekiranya kekuatan itu dapat dibuktikan, WAWASAN mempunyai asas yang lebih kukuh untuk menuntut ruang dalam perundingan.
“Namun, jika justifikasi tersebut masih lemah, pendekatan yang lebih realistik ialah menerima kerusi yang dipersetujui UMNO dan PAS sebagai tapak membina pengaruh,” katanya.
Hisommudin berkata, dalam politik pilihan raya, tuntutan pembahagian kerusi perlu sepadan dengan sumbangan yang mampu diberikan oleh sesebuah parti kepada kemenangan bersama.
Justeru, peluang WAWASAN mendapatkan kerusi yang dituntut akhirnya bergantung pada sejauh mana parti itu dapat meyakinkan rakan gabungan bahawa penyertaannya mampu meningkatkan peluang kemenangan, bukan sekadar berdasarkan kedudukan dalam gabungan atau rekod keputusan pilihan raya lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








