Dakwa cuba berkempen, Surina tampil jelaskan punca Farzana dihalau
MELAKA – Dakwaan cubaan berkempen dalam program rasmi tanpa melibatkan parti politik menjadi punca Ketua Srikandi PKR Melaka, Farzana Hayani Nasir, diminta meninggalkan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI di Bukit Rambai, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Surina Shamsudin yang terbabit dalam insiden berkenaan berkata, pihaknya sudah bersetuju dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya program itu tidak dijadikan platform mana-mana parti politik untuk berkempen.
Menurutnya, ketetapan itu terpakai kepada semua parti termasuk Barisan Nasional (BN) dan PKR bagi memastikan program berkenaan bebas daripada unsur politik.
“Sebelum ini kita dah berbincang dengan pihak ICU dan mengatakan takkan ada mana-mana parti yang akan turut serta dalam program kita.
“Parti Barisan Nasional, PKR atau mana-mana parti yang ada, kita takkan jemput,” katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosial.
Surina turut menafikan dakwaan bahawa beliau bertindak kasar tanpa memberikan penjelasan terlebih dahulu, sebaliknya mendakwa sudah meminta Farzana beredar dengan cara baik.
“Saya bercakap baik dengan dia untuk dia meninggalkan program saya. Saya dah bercakap elok dengan dia dah. Dengan nada suara yang rendah saya bercakap dengan dia, apa semua, minta dia beredar.
“Saya tak nak ada isu politik dalam ini, tak nak ada memperkenalkan diri sebagai orang politik ke apa, saya tak nak,” katanya.
Dalam pada itu, Surina mendakwa insiden berkenaan bukan kali pertama Farzana cuba berkempen dalam majlis yang dianjurkannya.
Malah, beliau mendakwa pemimpin PKR itu pernah mengedarkan nasi yang tertera gambar Farzana sebelum ini.
Surina turut mendakwa berlaku pertengkaran dengan bapa Farzana ketika kejadian apabila lelaki itu didakwa mengeluarkan kata-kata menghina terhadapnya.
“Bila bapa dia datang, bapa dia bodohkan saya, bangangkan saya, apa semua. Lepas itu saya balas balik.
“Saya kata, kenapa nak bodohkan saya? Ini program saya. Saya tak nak ada politik,” katanya sambil memaklumkan kejadian itu turut dirakam dalam video yang tular.
Terdahulu, Farzana yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu menyatakan hasrat untuk bertemu Surina susulan insiden dirinya diminta meninggalkan program di kawasan masjid Bukit Rambai yang tular di media sosial.
Farzana, 26, dilaporkan kecewa apabila diminta beredar ketika menghadiri program Kampung Angkat MADANI kira-kira jam 9.22 pagi.
Beliau mendakwa kehadirannya adalah sebagai anak jati Bukit Rambai dan bukannya untuk berkempen, selain menegaskan tidak memakai logo parti atau membawa bahan kempen.
Bagaimanapun, keadaan dilaporkan menjadi tegang sehingga Farzana mendakwa ditengking di hadapan orang ramai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








