Jangan heret institusi raja apabila berdepan isu rasuah – AMK
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti yang didakwa, sebaliknya pendirian gabungan itu jelas menjunjung Perlembagaan dan menghormati institusi raja.
Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata, kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, seolah-olah mengaitkan pendirian PH mengenai rasuah dengan tindakan mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
“Mana ayat dalam kenyataan PH yang mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong?
“Jangan letakkan perkataan yang tidak pernah disebut oleh PH. Kenyataan PH sangat jelas. Kita menjunjung Perlembagaan dan menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.
“PH bercakap tentang rasuah, salah guna kuasa, hukuman mahkamah dan kedaulatan undang-undang. Itu pendirian terhadap rasuah, bukan serangan terhadap institusi raja,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong tetap dihormati dan tidak pernah dinafikan atau dipertikaikan dalam kenyataan PH.
Katanya, menghormati kuasa pengampunan tidak bermaksud masyarakat atau parti politik perlu berdiam diri dalam isu rasuah dan integriti.
“UMNO sendiri mengatakan mereka tidak mahu mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan. Kalau begitu, biarkan proses itu berjalan mengikut Perlembagaan.
“Tetapi jangan setiap kali berdepan persoalan tentang rasuah dan integriti, institusi raja pula diheret masuk untuk mengubah gelanggang perbahasan,” katanya.
Sementara itu beliau turut menegaskan institusi raja tidak seharusnya dijadikan perisai apabila rakyat membangkitkan persoalan berkaitan rasuah.
“PH tidak mempertikaikan raja. PH mempertahankan prinsip bahawa rasuah mesti dilawan dan kedaulatan undang-undang mesti dihormati,” menurut Danish.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








