POLITIK

AMK desak Ahli Parlimen PKR hadir majlis Bersama tampil beri penjelasan

PADANG RENGAS – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak beberapa Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menghadiri majlis pelancaran semula Parti Bersama Malaysia (Bersama) tampil memberikan penjelasan berhubung kehadiran mereka pada program tersebut.

Ketua AMK, Kamil Abdul Munim berkata, ahli dan pimpinan parti berhak menuntut penjelasan daripada wakil rakyat terbabit bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan akar umbi.

Menurut beliau, kegagalan berbuat demikian hanya akan membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk terus mempersoalkan tindakan mereka.

“Mereka harus tampil dan berikan penjelasan yang sewajarnya. Kalau mereka tidak ambil langkah sedemikian dan membiarkan hal ini, jangan marah kalau ada orang lain terus menyerang atau mendesak,” memetik Kosmo online.

Sebelum itu, beberapa Ahli Parlimen PKR dilaporkan hadir pada majlis pelancaran semula parti Bersama pada 17 Mei lalu, antaranya Wong Chen, Bakhtiar Wan Chik, Rodziah Ismail, Zahir Hassan dan Lee Chean Chung.

Dalam pada itu, Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Anwar Ibrahim yakin kemunculan parti baharu tersebut tidak akan memberi kesan besar kepada kekuatan PKR khususnya di kawasan luar bandar.

“Sokongan akar umbi terhadap PKR masih kukuh dan parti terus menerima pertambahan keahlian dari semasa ke semasa.

“Kekuatan kita di akar umbi masih kukuh. Dari semasa ke semasa kita lihat pertambahan bilangan anggota yang menyertai parti meskipun kita tidak terlalu menguar-uarkannya seperti pihak lain,” katanya lagi.

Tambah beliau, fokus utama AMK dan PKR ketika ini adalah memperkukuh jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang semakin hampir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button