BERITA SEMASAPMX

Kerajaan galak rakyat guna TuJu sebagai alternatif Waze

PUTRAJAYA – Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan aplikasi navigasi tempatan, TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif kepada Waze susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, risiko keselamatan data berikutan penggunaan Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel antara perkara diteliti dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN), hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut meneliti perkembangan ancaman siber serta langkah memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.

“Mesyuarat turut meneliti risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel.

“Sehubungan itu, penggunaan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), digalakkan sebagai alternatif,” katanya menerusi kenyataan.

Anwar berkata, perbincangan turut merangkumi pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC), ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat.

“Justeru, Kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui PQC,” katanya.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengabaikan keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button