Anwar hargai dedikasi pasukan MOF, sempat bergurau sebelum bentang Belanjawan 2026
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam meninjau suasana persiapan akhir pasukan Kementerian Kewangan (MOF) menjelang pembentangan Belanjawan MADANI ke 4 yang akan dibentang di Dewan Rakyat petang ini.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Anwar meluahkan rasa bangga terhadap kesungguhan dan dedikasi warga kementerian yang membanting tulang menyiapkan dokumen penting itu.
“Saya berbangga melihat kerja keras pasukan Kementerian Kewangan yang membanting tulang menyiapkan Belanjawan ini yang akan dihamparkan di Dewan Rakyat petang ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang berusaha tanpa lelah merealisasikan hasrat Kerajaan untuk memaknai erti sebenar kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara menerusi dokumen ini,” katanya.

Melalui video yang dimuat naik bersama hantaran itu, suasana tinjauan turut diselangi dengan gelak tawa dan interaksi santai Perdana Menteri bersama para pegawai.
Ketika bertegur sapa dengan seorang kakitangan, Anwar sempat bergurau tentang Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan: “Dia sibuk ke?”
Pertanyaan itu kemudian dijawab oleh seorang pegawai dengan berseloroh: “You asking the right question.”
Dalam satu lagi detik mencuit hati, beliau ditegur salah seorang staf dengan berkata:
“Datuk Seri, kenapa tak pakai baju sama?”
Lalu dijawab spontan oleh Anwar: “Diorang tak bagi.”
Perdana Menteri juga sempat mengangkat fail bertulis ‘Rahsia Besar’ kepada jurugambar yang merakamkan suasana tersebut, sambil mengundang senyuman mereka yang hadir.

Tidak ketinggalan, beliau turut memenuhi permintaan kakitangan MOF Kewangan yang ingin merakam gambar swafoto bersama.
“Amboi, ni jawatan apa ni?” katanya berseloroh kepada salah seorang kaitangan sekali gus menggambarkan suasana mesra dan ceria antara Perdana Menteri dan warga kerja kementerian menjelang pembentangan belanjawan penting negara petang ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








