Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 fokus secara digital, tidak perlu rombongan besar – PM
KUALA LUMPUR – Promosi Malaysia Tahun Melawat 2026 (TMM 2026) tidak lagi memerlukan penyertaan rombongan besar ke luar negara, sebaliknya boleh digiatkan menerusi platform digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata, pendekatan baharu itu seiring dengan perkembangan semasa apabila kira-kira 70 peratus usaha promosi kini dijalankan secara digital, manakala selebihnya melalui kaedah konvensional.
“Soal MOTAC, tentu dalam kegiatannya membuat beberapa libat urus dengan semua syarikat termasuk syarikat penerbangan, ejen pelancongan, hotel dan restoran. Libat urus ini penting untuk mendengar pandangan mereka serta memperkukuh promosi, termasuk secara digital.
“Tak perlu sangat kita bawa rombongan untuk mengajak (melawat Malaysia), sebaliknya kita boleh manfaatkan promosi secara digital yang kini telah dipertingkatkan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) mengenai tahap persediaan kerajaan bagi menjayakan TMM 2026, termasuk aspek promosi antarabangsa, pembabitan kerajaan negeri serta perbelanjaan.
Dalam pada itu, Anwar turut menafikan dakwaan kononnya Pusat Pelancongan Islam (ITC) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bakal dimansuhkan, sambil menegaskan tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.
Mengenai kekosongan jawatan Ketua Pengarah ITC yang masih belum diisi, beliau memaklumkan keputusan pelantikan akan dibuat dalam tempoh terdekat.
“Saya dimaklumkan pelantikan Ketua Pengarah ITC akan dilakukan segera. Saya akan pastikan dalam satu atau dua hari ini keputusan dibuat. Tapi tentang ITC, saya tidak mendengar ia akan dimansuhkan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








