BERITA SEMASAPMX

SARA Untuk Semua diperluas: Makanan sejuk beku dibenar, 10,000 kedai terlibat seluruh negara

PUTRAJAYA – Skop pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua di bawah Belanjawan 2026 diperluaskan dengan penambahan kategori makanan sejuk beku serta penglibatan sehingga 10,000 kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif yang dilaksanakan buat kali kedua itu adalah hasil kejayaan reformasi fiskal kerajaan, yang membolehkan penjimatan diagihkan semula demi manfaat rakyat.

Menurut beliau, bermula hari ini hingga 31 Disember 2026, seramai 22 juta warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas layak menerima bantuan RM100 secara individu melalui MyKad.

“Walaupun jumlahnya kelihatan kecil, ia melibatkan 22 juta rakyat dan dilaksanakan buat kali kedua.

“Secara keseluruhan, peruntukan SARA bersama Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mencecah RM15 bilion, dan ini bukan angka yang kecil,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), di sini hari ini.

Anwar berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya menjelang musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina serta persiapan Ramadan dan Aidilfitri.

Beliau menjelaskan, bantuan berkenaan boleh digunakan untuk membeli barangan asas di lebih 10,000 kedai runcit dan pasar raya yang meliputi semua daerah di seluruh negara, berbanding sebelum ini yang lebih tertumpu kepada premis besar.

“Kita ambil maklum masalah sebelum ini apabila pembelian tertumpu kepada kedai besar.

“Kali ini, kita libatkan sehingga 10,000 kedai runcit kecil supaya manfaat ekonomi dapat disebarkan secara lebih menyeluruh ke peringkat akar umbi,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju meluaskan kategori barangan SARA untuk merangkumi makanan sejuk beku, susulan maklum balas rakyat yang memohon agar keperluan asas tersebut turut dibenarkan.

Dalam usaha memastikan rakyat luar bandar tidak tercicir, Anwar berkata jarak capaian kedai SARA turut dikurangkan kepada tujuh kilometer, berbanding 10 kilometer sebelum ini.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa bantuan SARA diberikan secara individu dan bukan berdasarkan isi rumah.

“Sebagai contoh, jika sesebuah isi rumah terdiri daripada suami, isteri dan dua anak dewasa, keseluruhan bantuan yang diterima adalah RM400,” jelasnya.

Pada masa sama, Anwar menegaskan kerajaan tetap berpegang kepada prinsip perbelanjaan berhemah dan disiplin fiskal.

“Kita mahu membantu rakyat sedaya upaya, tetapi dalam masa yang sama kita tidak mahu meningkatkan defisit. Pengurusan kewangan negara mesti kekal ketat dan berdisiplin,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan bantuan seperti SARA hanya dapat dilakukan dalam keadaan negara yang aman, stabil dan ekonomi yang diurus dengan dasar yang betul sekali gus membolehkan pelaburan asing ditarik masuk dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan untuk generasi muda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button