BERITA SEMASA

Dua projek pembangunan di Puncak Alam disiasat susulan banjir

KUALA SELANGOR – Kerajaan Selangor akan memeriksa dua projek pembangunan berkeluasan keseluruhan kira-kira 20 ekar di sekitar Saujana Aman, Puncak Alam bagi mengenal pasti kesannya terhadap kejadian banjir yang menjejaskan kediaman penduduk di kawasan itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kedua-dua projek masing-masing berkeluasan 2.02 hektar dan 6.07 hektar itu dikenal pasti berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan limpahan air di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan segera perlu dilakukan bagi menilai sejauh mana pembangunan terbabit mempengaruhi aliran air sehingga menyebabkan limpahan ke kawasan perumahan.

“Daripada laporan, memang ada kesan sedikit limpahan dan juga tempat lain. Itu saya minta untuk segera kita ambil tindakan,” katanya selepas meninjau kolam tadahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, limpahan air berkemungkinan tetap berlaku walaupun tanpa kedua-dua projek berkenaan, namun pembangunan terbabit didapati memburukkan keadaan.

Katanya, kejadian banjir semalam berpunca daripada hujan lebat luar biasa di kawasan puncak UiTM yang merekodkan taburan hujan antara 102 hingga 103 milimeter.

banjir uitm puncak alam
Keadaan banjir di Fakulti Alam Bina, UiTM Puncak Alam semalam. – Foto Facebook

Aliran air dari kawasan tinggi itu kemudian menyebabkan limpahan ke beberapa kawasan, termasuk Hillpark, Seri Alam dan Saujana Perdana, sehingga menjejaskan lebih 1,000 rumah.

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut mengarahkan semakan semula terhadap kelulusan projek pembangunan bagi memastikan langkah mitigasi banjir, khususnya di kawasan berisiko, dilaksanakan dengan sewajarnya.

BACA JUGA:
Longkang konkrit pecah punca banjir kilat di UiTM Puncak Alam

“Saya akan minta semak balik segala kelulusan yang telah kita benarkan termasuk mensyaratkan mereka (pemaju) membuat tadahan air sementara, kita pun tak nak buat dia buat cincai,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, beberapa faktor turut dikenal pasti menyumbang kepada kejadian banjir di kawasan seperti Johan Setia, Parit Mahang, Bukit Kuching dan Bukit Hijau.

Antaranya termasuk perbuatan vandalisme terhadap ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh 1 yang menyebabkan struktur berkenaan direndahkan daripada spesifikasi asal, selain limpahan air dari Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

“Isu vandalisme itu saya dah minta ditangani dengan segera. Kita akan ambil tindakan terhadap operasi haram yang ada di sana, dan ada beberapa proses perobohan yang terpaksa dilakukan.

“Perobohan itu untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai kawasan tadahan air atau dataran banjir di dua lokasi yang telah dikenal pasti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button