POLITIK

PRN Melaka: Tanah faraid RM1 bilion terbiar, PH cadang urus melalui Baitulmal

MELAKA – Tanah pusaka dan faraid milik umat Islam di Melaka yang dianggarkan bernilai RM1 bilion pada 2019 perlu diberi perhatian bagi memastikan aset berkenaan tidak terus terbiar tanpa dimanfaatkan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, masalah penyelesaian pemilikan tanah pusaka menyebabkan banyak kawasan tidak dapat dibangunkan akibat pertikaian dalam kalangan waris.

Menurutnya, Persatuan Ulama Malaysia pernah mencadangkan supaya tanah faraid yang gagal diselesaikan dalam tempoh 10 tahun diuruskan melalui sistem Baitulmal atau Majlis Agama Islam Negeri Melaka.

“Kalau kita biarkan berpuluh-puluh tahun, tanah itu terbiar dan tidak boleh dimajukan. Selepas itu, masalah antara ahli keluarga juga tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH Melaka di sini pada Khamis.

Adly berkata, beliau pernah melihat sendiri keadaan tanah seluas empat ekar yang sebelum ini dipajak untuk tanaman pisang, namun akhirnya terbiar akibat pertikaian hak pemilikan antara adik-beradik.

Katanya, perbezaan pandangan dalam kalangan waris menyebabkan tanah berkenaan tidak dapat diusahakan walaupun pernah mempunyai potensi untuk aktiviti pertanian.

“Saya pernah lihat beberapa contoh, tanah seluas empat ekar pernah dipajak untuk tanaman pisang tetapi disebabkan perbezaan antara adik-beradik dari segi pemilikan, akhirnya tanah itu terbiar kerana masing-masing merasakan ia hak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, proses penyelesaian isu tanah pusaka juga perlu dipermudahkan dengan menambah baik birokrasi membabitkan agensi kerajaan.

Menurutnya, terdapat beberapa peraturan dan keperluan mendapatkan ulasan agensi yang wajar diteliti semula bagi mempercepatkan urusan berkaitan tanah.

“Saya tidak nafikan kadang-kadang sebahagian birokrasi kita melibatkan komen daripada agensi yang mempunyai peraturan tertentu dan perkara itu mungkin perlu ditambah baik.

“Pengurangan birokrasi juga sebenarnya dapat mempercepatkan proses penyelesaian isu berkaitan tanah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button