PRN Melaka petunjuk sama ada PRU16 diadakan lebih awal – MUBARAK
KUANTAN – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi petunjuk sama ada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan diadakan lebih awal.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, momentum politik semasa dan kekuatan Barisan Nasional (BN) bakal menjadi faktor yang mempengaruhi tempoh masa PRU akan datang, lapor NST.
“PRU16 perlu diadakan lebih awal, memandangkan kekuatan BN ketika ini. Walau bagaimanapun, kita perlu melihat apa yang berlaku di Melaka… PRN Melaka akan menjadi petunjuk kepada tempoh masa PRU16.
“Sekiranya BN meraih kemenangan, maka pilihan raya umum mungkin boleh ditangguhkan sehingga ke akhir penggal,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan MUBARAK Ke-23, di sini hari ini.
Dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan yang diadakan sebelum ini, BN berjaya meraih kemenangan dan bagi PRN Melaka akan datang, gabungan itu berhasrat untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenangi ketika PRN pada tahun 2021.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadualkan bermesyuarat pada 7 Oktober bagi memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi PRN Melaka.
Mengenai kemungkinan kerjasama antara UMNO dan PAS pada PRU16, Abdul Aziz berkata, ia bergantung kepada “permainan angka” (game of numbers), dengan kedua-dua parti perlu menilai kekuatan masing-masing serta meletakkan calon yang berpotensi untuk menang.
“Jika UMNO dan PAS boleh bekerjasama dan menggabungkan kekuatan mereka, teruskanlah. Apabila anda sudah memegang kuasa, anda boleh memutuskan siapa yang mahu dibawa masuk (parti-parti untuk bekerjasama),” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








