BERITA SEMASA

Keselamatan sekolah: Kerajaan negeri Johor sedia bantu KPM

BATU PAHAT – Kerajaan negeri Johor menyuarakan sokongan penuh terhadap sebarang inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memperkukuh keselamatan sekolah di negeri berkenaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah sedemikian adalah bagi mengelakkan berulangnya insiden yang menyebab kematian pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, baru-baru ini.

“Kita telah menerima laporan mengenai insiden ini dan akan melihat dari setiap sudut dan peluang bagi memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan berhubung dengan kementerian berhubung isu keselamatan pelajar.

Onn Hafiz berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa di Kampung Parit Selamat, hari ini.

Dalam kunjungan tersebut, Onn Hafiz turut menyampaikan rasa dukacita yang mendalam bagi pihak kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Maklumat Negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat antara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan secara terperinci bagi menangani sebarang kelemahan atau kekurangan yang ada.

“Ini bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lepas, seorang pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya ditemui tidak sedarkan diri dengan kecederaan di kepala dan badan di dewan sekolah pada pukul 5.50 petang, sebelum meninggal dunia.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematiannya adalah akibat trauma daya tumpul (blunt force trauma) pada bahagian kepala.

Susulan kejadian, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, ditahan kira-kira pukul 7 malam pada hari yang sama.

Suspek kemudiannya direman selama enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button