Kes tikam Banting: Polis siasat kemungkinan suspek dipengaruhi pihak tertentu
SHAH ALAM – Siasatan kejadian tikam di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat pada 6 Julai lalu, kini tertumpu kepada kemungkinan wujud pengaruh komuniti atau kumpulan tertentu yang mendorong suspek berbuat demikian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan ke arah itu dibuat susulan penahanan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Remaja itu, bagaimanapun sudah dibebaskan setelah siasatan mendapati tiada sebarang penglibatan atau kaitan dengan insiden tersebut.
Lokasi penahanan remaja itu bagaimanapun tidak didedahkan.
“Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat perbincangan dalam kumpulan WhatsApp atau pertukaran pandangan dan cadangan yang mungkin menjadi faktor pendorong kepada suspek.
“Ia bukan fasilitator, sebaliknya sama ada terdapat pengaruh daripada rakan-rakan atau komuniti tertentu yang mendorong suspek bertindak sedemikian,” katanya dalam satu sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Mengenai penyebaran nota dipercayai milik suspek yang berusia 15 tahun di media sosial, Shazeli berkata, polis telah membuka siasatan dalaman bagi mengenal pasti bagaimana dokumen tersebut boleh tersebar.
“Nota itu merupakan antara eksibit kes. Justeru, kita sedang menyiasat bagaimana ia boleh berada di media sosial,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, keadaan mangsa semakin baik dan dibenarkan keluar dari hospital pada 13 Julai lalu.
“Mangsa kini menjalani proses pemulihan di rumah dan masih belum kembali ke sekolah,” katanya lagi.
Dalam kejadian yang berlaku pada 6 Julai itu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sekolah ketika waktu rehat.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini sedang dirawat di hospital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





