BERITA SEMASA

SPRM siasat perolehan UKM bernilai RM58.45 juta

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfokuskan siasatan terhadap perolehan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bernilai RM58.45 juta berhubung isu ketidakpatuhan prosedur serta kelemahan tadbir urus.

Pengarah Bahagian Siasatan Tadbir Urus SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan berkata, siasatan dijalankan bagi meneliti sebarang kecuaian atau pelanggaran prosedur seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 21 Julai lalu.

Menurut laporan itu, tiga daripada tujuh tender perolehan UKM yang bernilai keseluruhan RM58.45 juta didapati tidak mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan.

“Antara dapatan audit ialah Jawatankuasa Tender Perolehan UKM memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan serta Jawatankuasa Pra-Tender,” memetik laporan NST online.

Laporan sama turut mendedahkan UKM gagal melantik wakil Kementerian Kewangan sebagai ahli jawatankuasa perolehan, selain ketidakhadiran wakil Kementerian Pendidikan Tinggi dalam mesyuarat melibatkan tiga tender berkenaan.

Pada November lalu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus memaklumkan seramai lima individu telah dipanggil bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Canselor UKM, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut menyuarakan kebimbangan berhubung isu salah laku perolehan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), UKM.

Baginda bertitah menerima beberapa aduan berkaitan perolehan hospital berkenaan dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan ketelusan serta integriti pengurusan awam terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button