Kertas siasatan kes buli MCKK diserah kepada Jabatan Peguam Negara
IPOH – Kertas siasatan kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar telah diserah kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan undang-undang selanjutnya.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya telah menghantar laporan penuh kes itu pada 9 November lepas selepas melengkapkan siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Menurutnya, Jabatan Peguam Negara telah memberikan beberapa arahan khusus atas kertas siasatan itu termasuklah melengkapkan laporan penuh perubatan mangsa.
“Tindakan sedang diambil oleh pegawai penyiasat kes.
“Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat setelah semua tindakan dan laporan diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan, sini hari ini.
Minggu lalu, tular di laman Instagram memaparkan seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior.
Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat pada 24 Sept lalu, tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan telah dipukul empat pelajar tingkatan lima dan mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli itu dan dianggap memberi imej buruk kepada sekolah berprestij itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








