BERITA SEMASAPMX

Jangan lindungi kes buli demi jaga imej sekolah – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak pengurusan sekolah supaya tidak melindungi kes buli atau penderaan semata-mata bagi menjaga imej serta prestasi institusi pendidikan masing-masing.

Beliau berkata, tindakan menyembunyikan kes hanya akan menyebabkan masalah menjadi lebih buruk kerana perbuatan buli yang tidak ditangani sejak awal boleh berkembang menjadi keganasan dan kezaliman yang lebih serius.

“Tindakan ganas, gopoh dan zalim bermula di situ. Sebab itu di peringkat awal, perkara itu mesti dibetulkan walau sebesar atau sekecil mana sekalipun,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Pendidikan (KPM), di sini hari ini.

Anwar berkata, pengetua dan guru besar perlu bersikap terbuka dalam menangani isu buli serta tidak menganggap pendedahan sesuatu kes sebagai tindakan yang akan mencemarkan nama baik sekolah.

Menurut beliau, kejadian buli di sesebuah sekolah tidak bermakna institusi berkenaan gagal secara keseluruhan, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai isu yang memerlukan tindakan segera demi melindungi kebajikan murid.

“Saya di ruang ini mengingatkan pengetua dan guru besar supaya menjadikan perkara ini sebagai satu sikap yang amat penting.

“Tidak bermakna apabila berlaku satu kes yang heboh satu negara, bermakna sekolah itu gagal. Tidak.

“Saya tidak mewakili pandangan itu. Kalau guru besar memilih untuk mendedahkan, saya hormat dia kerana dia tidak cuba melindungi imej sekolah, jaga prestasi sekolah,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keselamatan dan kesejahteraan murid perlu menjadi keutamaan kerana setiap ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan harapan mereka berada dalam persekitaran pembelajaran yang selamat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, maklum balas yang diterimanya secara langsung daripada murid ketika turun padang sering memberikan gambaran sebenar mengenai situasi di sekolah, termasuk isu kemudahan dan disiplin.

Katanya, kanak-kanak lazimnya menyampaikan keadaan sebenar tanpa berselindung, berbeza dengan laporan rasmi yang kadangkala lebih berhati-hati kerana mengambil kira pelbagai pertimbangan.

“Anak-anak ini saya senang sebab saya anggap macam cucu-cucu saya yang dia cerita lurus.

“Kalau tanya KP (Ketua Pengarah), (jawapan) dia dah lapik-lapik sikit sebab dia nak pertahan. Pergi ke sekolah tanya pengetua, pergi ke pengarah pendidikan, mereka juga terpaksa (menjelaskan) semuanya okay,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button