MCMC pergiat usaha tambah baik liputan 4G, 5G sepanjang jajaran ECRL
KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempergiat usaha penambahbaikan liputan rangkaian 4G dan 5G di sepanjang jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai persediaan menjelang pengoperasian rasmi projek pengangkutan strategik itu.
Usaha berkenaan dinilai menerusi sesi pengujian liputan selular di jajaran ECRL Fasa 1 yang disertai Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, hari ini bagi meneliti tahap kesiapsiagaan perkhidmatan telekomunikasi di sepanjang laluan berkenaan.
MCMC dalam kenyataannya berkata, penilaian itu meliputi status liputan rangkaian serta kemajuan usaha penambahbaikan di sepanjang jajaran yang menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Bersepadu Gombak.
“Langkah itu penting bagi memastikan penumpang menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik dan konsisten sepanjang perjalanan, termasuk ketika tren melalui kawasan terowong serta berada di stesen.
“Keutamaan turut diberikan kepada kestabilan panggilan suara dan sambungan Internet bagi memenuhi keperluan komunikasi penumpang ketika menggunakan perkhidmatan ECRL,” katanya hari ini.

Menurut MCMC, penambahbaikan liputan rangkaian sedang dilaksanakan di beberapa seksyen jajaran menerusi kerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Bagi menyokong keperluan telekomunikasi sepanjang laluan ECRL, Maxis Berhad dilantik oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebagai Penyedia Infrastruktur Pilihan Tunggal dan Rakan Telekomunikasi bagi projek berkenaan.
Katanya, MCMC akan terus memantau pelaksanaan usaha penambahbaikan itu bagi memastikan kualiti perkhidmatan telekomunikasi memenuhi keperluan pengguna menjelang pengoperasian rasmi ECRL.
“Usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat menikmati ketersambungan digital yang stabil dan berkualiti tinggi, termasuk di sepanjang laluan pengangkutan awam strategik yang bakal merancakkan pergerakan rakyat serta aktiviti ekonomi antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung,” katanya.
Dalam pada itu katanya, orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi MCMC NEXUS secara percuma menerusi Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery bagi menguji kelajuan internet serta menyumbang data prestasi rangkaian sebenar dari lokasi masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














