BERITA SEMASA

BHEUU perkukuh kerjasama dengan MCMC laksana Akta Keselamatan Dalam Talian 2025

PUTRAJAYA – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) dilaksana secara sistematik.

BHEUU dalam satu kenyataan berkata, kerjasama bersepadu itu termasuk pelaksanaan mekanisme Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian seliaan BHEUU yang ditubuhkan di bawah Akta berkenaan sebagai platform penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan dasar keselamatan digital negara.

MCMC bertanggungjawab memperkukuhkan undang-undang dalam menjamin keselamatan siber rakyat Malaysia.

“BHEUU akan terus bekerjasama dengan MCMC, kementerian dan agensi yang berkaitan serta pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berjalan secara berfasa, telus dan berkesan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, BHEUU menyambut baik langkah MCMC yang menyifatkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dengan jumlah pengguna berskala besar sebagai berdaftar melalui mekanisme Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Menurut BHEUU, langkah tersebut signifikan dalam melengkapkan serta memperkukuh pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, dengan memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi secara teratur di bawah kerangka kawal selia negara tanpa menjejaskan kesinambungan operasi platform global.

“Pendekatan ini mencerminkan prinsip akauntabiliti yang menjadi teras kepada Akta 866 iaitu memastikan penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab yang jelas terhadap keselamatan pengguna,” katanya.

BHEUU menjelaskan, pengukuhan kawal selia itu penting bagi melindungi golongan rentan khususnya kanak-kanak daripada pelbagai kemudaratan dalam talian termasuk buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak serta penyebaran kandungan memudaratkan.

Pada masa sama, pelaksanaan langkah berkenaan turut mengambil kira keseimbangan antara keselamatan dalam talian dan kebebasan bersuara, selaras dengan prinsip perundangan dan kepentingan awam.

“Kerajaan MADANI kekal komited untuk membina ekosistem digital yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, di samping memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan awam rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button